Thursday, June 24, 2010

Karate Kid : Ilmu yang tersurat


Karate kid : Penerapan ilmu

Salah satu filem berunsur komedi aksi yang menggabungkan unsur-unsur moral (sikap), kekeluargaan dan pengorbanan. Menariknya filem ini bertunjangkan Dre Parker (Jaden Smith) sebagai watak utamanya dan Mr Han (Jackie Chan) sebagai seorang guru merangkap pelengkap cerita ini.
Dre Parker adalah seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun yang mempunyai perwatakan yang lincah, berani dan petah berkata. Kisah ini bermula apabila beliau terpaksa berpindah mengikut ibunya ke China di atas komitmen kerja ibunya. Dalam usaha untuk membiasakan diri dengan suasana baru itu beliau telah menjumpai kawan dan lawan. Dari sudut personalitinya, Dre adalah sorang kanak-kanak yang berdikari (IQ), mampu memahami perasaan orang lain (EQ) dan mempunyai semangat yang kuat (EQ). Apa yang ingin dibentuk di dalam kisah ini ialah nilai-nilai yang perlu dipegang menerusi seni beladiri itu sendiri.

Inilah tarikan yang dihidangkan oleh Pengarah filem melalui garapan jalan cerita yang amat menyentuh jiwa. Secara peribadi saya tertarik dengan watak Dre yang mewarnai setiap isi cerita. Permulaan kisah antara Dre dengan Mr. Han untuk mempelajari kung fu ialah dengan membuat latihan meletakkan jaket ke atas lantai, mengangkat jaket dan melemparkan jaket tersebut. Itulah latihan yang dilakukan selama berminggu-minggu sehingga dia sendiri mula memberontak kerana terlalu bosan dengan latihan yang sama sahaja dan menganggap suatu perkara bodoh. Waktu itu Mr Han mula menunjukkan hikmah disebalik gerakan yang biasa itu kepada Dre sambil mengatakan, “Make your surrounding as your teacher, open your eye and learn from them’’, ayat ini cukup bermakna bagi dia (Dre) dan mungkin juga yang menontonnya. Dari perspektif Islam, ia di namakan sebagai hukum alam atau pun sunnatullah. Di sinilah hukum logik dan sains dipergunakan dengan lebih meluas. Tetapi ia cukup bermakna bagi mereka yang ta’allam (mempelajari), dan tadabbur (faham dan praktis). Inilah konsep belajar yang menjadi ritual harian manusia, iaitu melalui penglihatan (visual), pendengaran (audio) dan kelakuan (kinesthetic). Permasalahan di sini ialah, konsep pembelajaran yang mengutamakan pendengaran akan membataskan kreativiti dan inovasi pelajar-pelajar. Kerana itu, sukar untuk melabelkan pelajar yang cemerlang sekiranya method pembelajaran adalah sama untuk mereka. Oleh itu, konsep pembelajaran yang menggabungkan ketiga-tiga elemen ini mampu memupuk dan menjana minda yang cemerlang kepada semua manusia.

Selain itu, wujud salah satu babak yang memberi tekanan kepada Dre kerana terpaksa menyesuaikan diri di China dan berhadapan dengan gangguan daripada pelajar-pelajar kung fu yang tidak beradab yang acap membulinya. Mr Han mengubah persepsinya dengan mengatakan “Kau tidak akan berubah selagi mana kau tidak mencuba untuk berubah’’, menyedari perkara tersebut, Dre mengubah persepsi dan cuba membiasakan diri dengan persekitaran dan tabah mempelajari kung fu yang amat memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Situasi yang kedua ialah cuba membina persepsi baru dalam kehidupan Mr Han. Mr Han dihantui dengan tragedi kemalangan yang menyebabkan anak dan isterinya meninggal dunia di dalam kemalangan dan beliau sering menyalahkan dirinya. Di saat Mr Han berada dalam kondisi yang cukup tertekan, Dre datang membantu dengan mengulangi ayat yang dikatakan oleh Mr Han dahulu ; “Kau tidak akan berubah selagi mana kau tidak mencuba untuk berubah’’. Di sinilah turning point untuk menjadikan seseorang itu mampu untuk menukarkan persepsinya kepada yang lebih baik. Kata-kata yang tepat, bermakna dan sesuai pada keadaan yang dihadapi. Inilah antara method dakwah yang terbaik, untuk menyeru seseorang ke arah kebaikan. Dengan mengenali mad’u dan mendalami permasalahannya adalah soft point untuk mendekatinya ke arah kebaikan. Ini juga adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mendekati masyarakat jahiliah yang mana ketika itu amat mengagungkan kehebatan bahasa arab. Lalu Allah menurunkan ayat-ayat al-Qur’an yang begitu hebat sehinggakan mereka mengakui dan tunduk dengan kehebatannya.

Di dalam filem ini juga ada dipersembahkan mengenai konsep seorang murabbi (guru). Mr Han yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi seorang guru kepada Dre. Beliau membentuk muridnya dengan meletakkan disiplin yang ketat dan nilai moral yang tinggi dengan menampilkan sikap yang baik dan menjadikan dirinya contoh kepada muridnya. Setiap suasana dan waktu yang dihadapi oleh mereka adalah satu pelajaran dan pengalaman yang amat bermakna kepada mereka. Inilah antara contoh murabbi (guru) yang begitu penting di dalam menjana masyarakat dan generasi baru kini. Mereka bukan sekadar mengajar tetapi mereka juga membentuk personaliti, persepsi dan jiwa insan yang kental. Ingatlah JIWA YANG MATI, TIDAK DAPAT MENGHIDUPKAN JIWA-JIWA MATI YANG LAIN. Wahai tuhan jangan KAU matikan hati kami daripada mengingatiMU, agar kami mampu menyalurkan hidayahMU untuk menghidupkan hati-hati insan yang memerlukan. Amin...

No comments:

Post a Comment