Tuesday, September 6, 2011

Berakhirnya Ramadhan, kembali kepada fitrah


Alhamdulillah, Ramadhan 1432 yang berlalu banyak memberi pengalaman dan pelajaran. Tanggungjawab untuk memimpin solat terawih di Pengkalan Sentosa banyak memberikan erti dalam bermasyarakat. Memang sebelum ni telah menjadi kebiasaan menjadi imam. Cuma perbezaannya, taklifan yang dberikan selama sebulan non-stop mampu mengisi persediaan rohani dan jasmani.

Realitinya, di awal Ramadhan memang melimpah-limpah kehadiran jemaah. Di pertengahannya pula makin berkurang. Di akhirnya, adalah bertambah sedikit. Begitulah ujian untuk melakukan ibadah yang sedikit untuk tempoh berterusan. Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu bertahan sehingga ke akhir Ramadhan. Mudah-mudahan bekalan taqwa yang dikurniakan Allah di dalam diri hambanya boleh memberikan momentum kepada diri dan orang sekitarnya.

Sebaik-baik ibadah ialah yang berterusan dan sedikit. Kata-kata ini adalah bukti bahawa Allah memandang amalan yang sedikit yang dilakukan secara istiqamah. Dalam erti kata lain, amalan yang sedikit dan dilaksanakan dengan berkualiti. Bukannya amalan yang banyak yang tidak memberi apa-apa kesan kepada roh dan jasad kita.

Semoga syawal yang menjelang mampu memberi impak kepada setiap insan untuk kembali kepada fitrah. Sebab itulah dinamakan Aidil fitri, hari di mana manusia kembali kepada fitrah asal kejadian yang bersih dari segala dosa dan maksiat.