Thursday, June 24, 2010

Karate Kid : Ilmu yang tersurat


Karate kid : Penerapan ilmu

Salah satu filem berunsur komedi aksi yang menggabungkan unsur-unsur moral (sikap), kekeluargaan dan pengorbanan. Menariknya filem ini bertunjangkan Dre Parker (Jaden Smith) sebagai watak utamanya dan Mr Han (Jackie Chan) sebagai seorang guru merangkap pelengkap cerita ini.
Dre Parker adalah seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun yang mempunyai perwatakan yang lincah, berani dan petah berkata. Kisah ini bermula apabila beliau terpaksa berpindah mengikut ibunya ke China di atas komitmen kerja ibunya. Dalam usaha untuk membiasakan diri dengan suasana baru itu beliau telah menjumpai kawan dan lawan. Dari sudut personalitinya, Dre adalah sorang kanak-kanak yang berdikari (IQ), mampu memahami perasaan orang lain (EQ) dan mempunyai semangat yang kuat (EQ). Apa yang ingin dibentuk di dalam kisah ini ialah nilai-nilai yang perlu dipegang menerusi seni beladiri itu sendiri.

Inilah tarikan yang dihidangkan oleh Pengarah filem melalui garapan jalan cerita yang amat menyentuh jiwa. Secara peribadi saya tertarik dengan watak Dre yang mewarnai setiap isi cerita. Permulaan kisah antara Dre dengan Mr. Han untuk mempelajari kung fu ialah dengan membuat latihan meletakkan jaket ke atas lantai, mengangkat jaket dan melemparkan jaket tersebut. Itulah latihan yang dilakukan selama berminggu-minggu sehingga dia sendiri mula memberontak kerana terlalu bosan dengan latihan yang sama sahaja dan menganggap suatu perkara bodoh. Waktu itu Mr Han mula menunjukkan hikmah disebalik gerakan yang biasa itu kepada Dre sambil mengatakan, “Make your surrounding as your teacher, open your eye and learn from them’’, ayat ini cukup bermakna bagi dia (Dre) dan mungkin juga yang menontonnya. Dari perspektif Islam, ia di namakan sebagai hukum alam atau pun sunnatullah. Di sinilah hukum logik dan sains dipergunakan dengan lebih meluas. Tetapi ia cukup bermakna bagi mereka yang ta’allam (mempelajari), dan tadabbur (faham dan praktis). Inilah konsep belajar yang menjadi ritual harian manusia, iaitu melalui penglihatan (visual), pendengaran (audio) dan kelakuan (kinesthetic). Permasalahan di sini ialah, konsep pembelajaran yang mengutamakan pendengaran akan membataskan kreativiti dan inovasi pelajar-pelajar. Kerana itu, sukar untuk melabelkan pelajar yang cemerlang sekiranya method pembelajaran adalah sama untuk mereka. Oleh itu, konsep pembelajaran yang menggabungkan ketiga-tiga elemen ini mampu memupuk dan menjana minda yang cemerlang kepada semua manusia.

Selain itu, wujud salah satu babak yang memberi tekanan kepada Dre kerana terpaksa menyesuaikan diri di China dan berhadapan dengan gangguan daripada pelajar-pelajar kung fu yang tidak beradab yang acap membulinya. Mr Han mengubah persepsinya dengan mengatakan “Kau tidak akan berubah selagi mana kau tidak mencuba untuk berubah’’, menyedari perkara tersebut, Dre mengubah persepsi dan cuba membiasakan diri dengan persekitaran dan tabah mempelajari kung fu yang amat memerlukan ketahanan fizikal dan mental. Situasi yang kedua ialah cuba membina persepsi baru dalam kehidupan Mr Han. Mr Han dihantui dengan tragedi kemalangan yang menyebabkan anak dan isterinya meninggal dunia di dalam kemalangan dan beliau sering menyalahkan dirinya. Di saat Mr Han berada dalam kondisi yang cukup tertekan, Dre datang membantu dengan mengulangi ayat yang dikatakan oleh Mr Han dahulu ; “Kau tidak akan berubah selagi mana kau tidak mencuba untuk berubah’’. Di sinilah turning point untuk menjadikan seseorang itu mampu untuk menukarkan persepsinya kepada yang lebih baik. Kata-kata yang tepat, bermakna dan sesuai pada keadaan yang dihadapi. Inilah antara method dakwah yang terbaik, untuk menyeru seseorang ke arah kebaikan. Dengan mengenali mad’u dan mendalami permasalahannya adalah soft point untuk mendekatinya ke arah kebaikan. Ini juga adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mendekati masyarakat jahiliah yang mana ketika itu amat mengagungkan kehebatan bahasa arab. Lalu Allah menurunkan ayat-ayat al-Qur’an yang begitu hebat sehinggakan mereka mengakui dan tunduk dengan kehebatannya.

Di dalam filem ini juga ada dipersembahkan mengenai konsep seorang murabbi (guru). Mr Han yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi seorang guru kepada Dre. Beliau membentuk muridnya dengan meletakkan disiplin yang ketat dan nilai moral yang tinggi dengan menampilkan sikap yang baik dan menjadikan dirinya contoh kepada muridnya. Setiap suasana dan waktu yang dihadapi oleh mereka adalah satu pelajaran dan pengalaman yang amat bermakna kepada mereka. Inilah antara contoh murabbi (guru) yang begitu penting di dalam menjana masyarakat dan generasi baru kini. Mereka bukan sekadar mengajar tetapi mereka juga membentuk personaliti, persepsi dan jiwa insan yang kental. Ingatlah JIWA YANG MATI, TIDAK DAPAT MENGHIDUPKAN JIWA-JIWA MATI YANG LAIN. Wahai tuhan jangan KAU matikan hati kami daripada mengingatiMU, agar kami mampu menyalurkan hidayahMU untuk menghidupkan hati-hati insan yang memerlukan. Amin...

Tuesday, June 15, 2010

Titipan hariku


Sebenarnya dah tahu…


Ada dua perkara yang menjadi perkara biasa di kalangan umat sekarang. Perkara ini berlaku ketika saya bersama teman pulang dari pejabat dan menuju salah sebuah pasaraya yang besar di sekitar Lembah Klang.


Perkara pertama yang berlaku ketika kami sedang sibuk bermain boling, saya terpandang akan seorang gadis di sebelah saya yang berhenti bermain secara tiba-tiba. Lalu pandangan saya terarah kepada lanenya. Bola boling yang dibaling tersebut terhenti di dalam longkang dan langsung tidak bergerak maju ke hadapan, juga mustahil untuk berpatah balik.


Setelah diamati, rupa-rupanya bola bolingnya tersangkut di dalam longkang lane tersebut. Tiba-tiba, seorang gadis yang juga seorang pekerja di situ menuju ke arah longkang tersebut untuk mengambil semula bola tersebut. Lagaknya seperti model iklan bola boling hinggakan menjadi tarikan kepada orang ramai. Manakan tidak, pakaian gadis yang dalam lingkungan awal 20-an itu begitu ketat dan sendat yang mampu menzahirkan susuk tubuhnya...


Saya menulis perkara ni bukan nak mengatakan aku pertama kali melihat perkara ini. Cuma, mahu berkongsi perkara ini sudah menjadi perkara kebiasaan. Bukan saya nak kata mereka tak tahu, cuma hati mereka belum ada rasa mahu. Bukan mereka tak tahu bahaya di pandang dengan keghairahan, cuma mungkin ingin menarik dan menunjuk kepada lelaki juling akhlaknya. Inilah realiti mentaliti masyarakat yang terlalu ingin menjadi barat lebih dari orang barat sendiri.


Selesai bermain kami mencari surau di sekitar pasaraya tersebut. Oleh kerana ini adalah kali pertama kami sampai di situ, kami perlu khidmat bantuan orang lain. Lalu saya ajukan persoalan kepada seorang promoter lelaki. Pada mulanya saya bertanyakan sudah berapa lama promosikan produk-produk ini, dia berkata adalah dalam seminggu. Seterusnya saya bertanyakan soalan yang sebenarnya,”Bang, di mana surau ye” . Kemudian pemuda tersebut berpaling sambil tersenyum. Di dalam hati saya mulalah berfikir, nasib baiklah dia tahu. Kemudian selepas dia senyum dia pun menjawab ”maaflah bang saya tak biasa sangat dengan tempat ni”. Aduh, macam ni pun boleh ada ke...saya tersenyum sendirian. Namun hakikatnya mungkin ramai lagi yang mempunyai jawapan sedemikian. Ialah, bila dilihat keadaan sekeliling, masih ramai lagi golongan melayu muslim yang berkeliaran ghairah dengan aktiviti masing-masing. Seperti saya katakan sebelum ini, bukannya saya tak pernah nampak keadaan sebegini, tetapi inilah perkara kebiasaan yang berlaku kepada umat kita.



Apabila maksiat menjadi perkara kebiasaan dalam kehidupan. Maka nantikanlah janji Allah ke atas mereka yang mendustakan ayat-ayatNya. Cukup beruntung bagi orang-orang yang mengingati Allah dan amatlah rugi bagi sesiapa yang meninggalkan laranganNya. Kalaulah solat dianggap enteng bagi segelintir orang, pasti haluan hidupnya makin jauh dari Allah.


Sebenarnya, solat itulah satu-satunya jalan yang mampu menghindarkan diri dari gejala kemaksiatan. Tetapi, bila masih ada yang tega dengan kejahilan, tidak mahu belajar solat, tidak membaiki solat, dan yang paling teruk ialah orang yang tahu dia jahil, tetapi redha dengan kejahilan yang dia ada. Ingatlah, sesungguhnya mereka akan membawa dosa kejahilan itu sampailah ke mati. Nauzubillah...

Wednesday, June 9, 2010

Terkesima suara indah

Maher Zain adalah antara artis baru yang mendapat tempat di dalam irama nasyid antarabangsa.beliau yang membawa konsep untuk kembali kepada tuhan dan kemanusiaan kepada setiap negara.

Lagu-lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati dan perasaan orang yang mendengarnya. lagu-lagu yang dihasilkan berlatar belakangkan kehidupan seharian manusia. Namun, yang jelas ialah konsep kesyukuran kita kepada Allah di atas apa yang telah Allah berikan kepada kita. Kesyukuran yang hadir dengan sepenuh jiwa dan mampu menjawab setiap kekeliruan di diri kita. Insyaallah, lagu boleh dijadikan sebagai halwa telinga bagi mereka yang sedang mencari arah.

Maher Zain mula-mula mendapat inspirasi di dalam muzik kerana banyak terpengaruh dengan ayahnya sendiri, kerana ayahnya juga seorang penyanyi juga di bandar Tripoli yang banyak menggambarkan tentang keindahan Mediterranean – Lebanon. Oleh kerana, terlalu meminati dengan muzik, beliau telah memperoleh keyboard ketika berusia 10 tahun dan secara rasminya muzik telah menjadi sebahagian dari hidupnya.

Kemudian keluarganya telah berpindah ke Sweden ketika beliau berumur 8 tahun dan beliau menyambung pengajian di sana sehinggalah beliau berjaya memasuki universiti dan mendapat ijazah di dalam Aeronautical Engineering. Walaupun banyak perubahan berlaku di sekelilingnya, beliau masih lagi seperti dahulu – keinginannya terhadap muzik masih kuat. Dia akan meluangkan masa setiap malam bersama rakan-rakannya untuk bernyanyi, rap, mengarang lagu dan mencuba lagu dengan pelbagai cara.

Selepas terlibat dengan muzik di Sweden sebagai produser, beliau telah di perkenalkan oleh RedOne bersama-sama dengan artis-artis Sweden, dan kemudian berpindah ke New York. Dalam beberapa tahun kemudian beliau telah mula dikenali di New York.


Beliau mempunyai begitu banyak impian untuk dikejar di dalam industri muzik, tetapi, dia merasakan impian tersebut terlalu jauh dengan kenyataan. “Aku meminati muzik, tetapi aku benci akan persekitaran di sekelilingnya, ia menyebabkan muzik itu seperti tidak suci”. Beliau telah mengikat kontrak dengan RedOne untuk membuat album dengan syarikat ini bersama-sama dengan artis-artis lain seperti Akon, Lady Gaga, Enrique Iglesias, Brandy, New Kids on the Block, dan Michael Jackson. Walau bagaimanapun, beliau telah membuat keputusan bahawa di New York bukanlah tempat yang terbaik untuk mengembangkan bakatnya, beliau telah pulang semula ke Sweden. Setelah dia berjumpa dengan Islamic Community di Stockholm, dia mula merasai ketenangan yang sebenar apabila dia mula menghadirkan diri ke masjid.

Beliau bersyukur kerana di beri peluang untuk kembali ke jalan yang benar, dan sekarang dia mula mengatur langkah untuk membantu orang ramai melalui kemahiran muziknya itu. “Jika aku ada peluang intuk berkata kepada orang ramai, aku mahu mengatakan bahawa; untuk menuju jalan yang diredhai amatlah mudah sekiranya kita membuka mata kita dan melihat dengan sebaik-baiknya ; begitulah seperti mana yang berlaku kepada aku,” Maher Zain.


info : http://drzaty.blogspot.com/2009/11/biography-of-maher-zain.html

Monday, June 7, 2010

Kisah Si Mati dan Si Hidup


Pada 3 dan 4 jun 2010 iaitu pada hari Khamis dan Jumaat di kampung aku telah berlaku kematian berturut-turut.... pada petang dalam jam 3 petang Puan Jamiah bt Ngadiah telah pergi bertemu ke hadrat Ilahi....Kemudian pada hari jumaat ketika jemaah surau sedang membaca tahlil untuk arwah, kami dikejutkan dengan kematian Encik Hasan bin Hj Halid...Al-fatihah buat kedua-duanya..

Walaupun ia kelihatan satu kebetulan pada pandanganku, namun ada ketikanya aku berfikir panjang dengan kejadian ini. Setiap hari pasti berlaku kematian yang tidak diduga. Lebih-lebih lagi rumah kedua-dua arwah tersebut memang hampir dengan rumahku.

Kira-kira 3 minggu yang lepas jiran di belakang rumahku juga telah pergi bertemu ke hadrat Allah. Arwah bernama Mohd Rozaini bin Amiruddin yang berumur dalam lingkungan 18 tahun dan adalah seorang junior aku sewaktu di sekolah menengah. Beliau meninggal disebabkan terbabas di Teluk Intan berdekatan dengan TF Values. Kematiannya berpunca apabila lori besar yang telah menggeleknya di bahagian pinggang. Nauzubillah.



Kematian adalah satu perkara yang pasti akan berlaku. Firman Allah : "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.” Masalahnya tiada siapa yang tahu bila dia akan mati. Mungkin Allah mahukan setiap hambanya sentiasa bersedia dengan kematian yang bakal menjelma. Ironinya, andai Allah takdirkan kematian itu adalah satu perkara yang mampu di ketahui oleh manusia, pasti ramai manusia yang akan bermain-main dengan tujuan hidup mereka yang sebenar. Mungkin taubat ketika itu dianggap sebagai bahan usikan semata.

Apabila berlaku kematian, jelas terpancar di wajah waris-waris si mati keadaan yang sugul dan berduka dengan pemergian insan yang tersayang. Inilah ratapan yang menjadi adat terutamanya masyarakat melayu kita. Di saat pengurus jenazah mengatakan, ”Di minta waris-waris menatap wajah arwah buat kali terakhir”. Pastinya waris-waris yang terdiri daripada anak-anak, isteri dan adik-beradik mencium si mati mungkin buat kali pertamanya. Mungkin sukar untuk menzahirkan kasih-sayang di dalam bentuk fizikal berbanding yang berbentuk emosi ketika arwah masih hidup dahulu. Penghormatan terakhir ini memberi makna yang mendalam kepada setiap orang yang menyaksikannya. Semoga mereka yang telah pergi ke rhmat Allah dilimpahkan rahmat dan keamanan di alam sana.

Mungkin ini satu ingatan buat diriku yang sering lupa. Nabi s.a.w. pernah berpesan kepada umatnya. "Di saat kematian itu menjelma akan terputuslah segala amalan kecuali 3 perkara iaitu; sedekah jeariahnya ketika hidup, ilmu yang bermanfaat dan do’a anak yang soleh”. Bila diamati semula wasiat nabi ini maka beruntunglah bagi mereka yang beringat ketika hidup. Ya Allah letakkanlah kami di kalangan orang-orang yang kau kasihi.

Mudah-mudahan Allah meletakkan mereka ini dekat denganNya dan memberikan keamanan di alam baqa sana berkat doa anak-anak yang soleh. Insyaallah.

Thursday, June 3, 2010

aktiviti

Obsesi dakwah


Obsesi Dakwah


Aku masih lagi mencari-cari haluan aku yang sebenar. Mungkin aku masih lagi belum mampu untuk mencari jawapan sebenar apakah bentuk pekerjaan yang aku cari. Kesannya, aku masih lagi diawang-awangan sedangkan rakan-rakan aku sudah selesa bekerjaya hebat yang mereka minati.
Tapi apa yang terjadi terhadap aku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin satu ketika dahulu aku menetapkan untuk menjadi da’ie yang berkhidmat untuk masyarakat. Di saat itu aku telah berjumpa dengan haluan aku sendiri yang mampu memberi kesan terbaik kepada masyarakat yang tidak mengira semua peringkat umur. Bagi aku kehidupan perlu diisi dengan perkara bermanfaat dan tidak ada erti rehat sebelum mati.
Lantaran sikap aku yang terlalu obses bekerja menyebabkan keluarga aku merasai kehilangan aku disisi mereka. Tapi sebenarnya aku ingin sangat mengembara ketika usia masih muda. Aku ingin sekali bebas berjalan. Bebas berjalan mencari pelajaran dan pengalaman. Bagi aku itulah perkara yang paling berharga ketika aku masih berkemampuan berjalan.
Disini aku ingin mencatatkan jalan-jalan yang pernah aku lalui ketika aku berjalan dahulu. Ada yang begitu gembira dan adakalanya aku tersungkur jatuh berguling-guling. =)... alhamdulillah, thank you Allah.