Wednesday, April 29, 2015

Di dalam surah al-mudassir pada ayat yang ke-4 ada menyebut :

وَثِيَابَكَ فَطَهِّر (4)

Bermaksud : dan pakaian-pakaian kamu, maka bersihkanlah.



Ayat yang termaktub di dalam al-quran ini, Allah memberi penegasan di dalam adab-adab berpakaian. Pastikanlah pakaian itu bersih dari kekotoran.

                Zahirnya, kekotoran yang berada di benak pemikiran kita adalah kotoran dari debu-debuan, najis dan sebagainya. Mungkin kotoran inilah yang menyebabkan kesukaran kita dalam beribadah kepada Allah.

                Pada asasnya Allah meminta hamba-hambaNya untuk sentiasa menjaga luarannya dari keadaan yang kotor. Maka perlulah kita memakai pakaian yang cantik, menutup aurat, memakai pakaian yang bersesuaian dengan tempat serta sentiasa menjaga akhlak dan penampilan dari perkara yang salah. Seterusnya, janganlah berbangga dengan nikmat kecantikan pakaian itu. Tetapi junjunglah perintah Allah dalam sepanjang kehidupan.

                Cuma, ayat Allah itu tidak terhenti di situ semata-mata kerana apa yang kita bincangkan sebentar tadi hanyalah sekadar menyentuh perkara-perkara luaran yang bersifat fizikal. Sebaiknya, janganlah kita menidakkan perkara yang bersifat dalaman atau pun perkara kerohanian di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.

                Dari dimensi yang lain, setiap hari kita akan memakai pelbagai jenis pakaian. Yang mana pakaian yang kita sarung adalah pakaian yang mendatangkan betapa pentingnya peranan kita. Sedar atau tidak kita akan memakai pakaian seorang anak, pakaian seorang ayah atau ibu, pakaian seorang suami atau isteri, pakaian seorang pekerja, dan pakaian seorang hamba kepada Allah s.w.t.

                Jagailah pakaian kita sebaiknya, peliharalah pakaian ini dari debu-debu dosa atau najis-najis maksiat dari terpalit kepadanya. Maka pastikanlah akhlak dan jiwa kita bersih dari kekotoran agar yang akan dilihat adalah ; seorang manusia yang berpakaian cantik dan mempunyai akhlak yang cantik. Bukannya seorang manusia yang berpakaian cantik, malangnya akhlaknya amat kotor dan busuk.


                InsyaAllah bersama-sama kita menjadikan diri dan hati kita cantik pada luaran dan dalamannya. Menjadi hamba yang soleh kepada tuhannya. Wallahu ta’ala a’lam.

Monday, April 13, 2015

Butiran Hikmah
Adab-Adab Bangun Dari Tidur
Petikan dari kitab Bidayatul Hidayah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.



                “Sebaiknya bangunlah awal sebelum terbitnya fajar sadiq dengan berzikrullah kepada Allah.”

Sedar atau tidak, Allah memberi satu nikmat yang begitu penting sekali iaitu nikmat hidup setelah mati ( tidur ). Satu nikmat yang cukup besar dari segalanya, kerana dengan nikmat hidup inilah kita merasai nikmat kasih dan sayang, nikmat berkeluarga, nikmat bersahabat, nikmat berharta dan sebagainya.

Walaupun hamba itu beriman atau tidak kepada Allah, Allah tetap memberi akan nikmat kehidupan. Dan dengan nikmat inilah mereka juga turut merasai segala erti kehidupan yang berwarna –warni.

Begitu besar kasih dan cinta Allah kepada hambanya, walaupun, kita tidak meminta atau berdoa sebelum tidur agar diberikan nikmat kehidupan semula pada esok hari.

Oleh itu, menjadi satu kewajipan dan kemestian untuk kita mengamalkan zikrullah sebagai pengisian yang bermakna sepanjang kehidupan yang dikurniakan oleh Allah dalam hari-hari yang dilalui. Zikrullah adalah manifestasi cinta hamba kepada penciptanya.

Mari Mengenal Zikrullah.
           
            Kenalkah kita akan erti zikrullah?

Tepat kefahaman yang kita peroleh, maka besarlah konsep zikrullah yang kita fahami.

Zikrullah bukan semata-mata berzikir di lidah dengan menyebut nama Allah atau bertasbih. Mungkin kefahaman di dalam Bahasa Melayu agak terbatas dari pengertian sebenarnya.

Zikrullah bererti mengingati Allah. Jika diamati pengertian ini, ia lebih luas berbanding dari berzikir dan bertasbih. Mengingati Allah di dalam apa jua keadaan dan tempat sama ada ketika bersolat, beribadah, bekerja, makan atau minum, bermain, ketika bergaul sesama manusia dan sebagainya.

Sebenarnya, bagi mereka yang memahami pengertian zikrullah ini. Secara tidak langsung telah mengaplikasikan konsep ibadah di dalam kehidupan.

Subhanallah, bukankah begitu mudah bagi kita untuk mendapatkan pahala ibadah di dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.


Apabila kita mengingati Allah pada setiap masa, secara tidak langsung kita telah menjemput Allah di dalam kehidupan diri kita. Cuba kita bayangkan sekiranya seseorang mampu mengingati Allah pada setiap keadaan, pastinya kehidupannya lebih baik dan jauh dari dosa dan maksiat. Ini berpunca apabila sering menjemput Allah di dalam setiap pekerjaan yang dia dilakukan. Bagaimana jika pemahaman ini mampu diaplikasikan oleh sesebuah masyarakat setempat. Tentunya, mampu memupuk dan mewujudkan masyarakat yang berakhlak dan bermoral kesan daripada zikrullah itu.