Saturday, December 31, 2011

Buka Mata Aktif Minda


Azuhan, Asyraf, Fikri dan Hadi

Ketika menghadiri Program Remaja Cemerlang anjuran Perbadanan Putrajaya di Morib, Selangor sebagai fasilitator jemputan. Mungkin ini adalah program yang agak berlainan dari yang pernah saya hadiri sebelum ini, berikutan hanya memberi fokus kepada program sendiri sahaja. Perbezaan yang diambil mampu menjadi penambahbaikan di dalam mengadaptasi kemahiran komunikasi yang lebih berkesan.


Kerap-kali orang menilai keupayaan berdasarkan faktor materi yang bersifat zahiriah. Di samping memberi keutamaan kepada pembangunan fizikal diri, keseimbangan kepada pembangunan rohani juga amat ditekankan. Ia adalah usaha mewujudkan insan yang bukan hanya melihat berdasarkan pandangan mata mereka sahaja. Tetapi juga, menaakul setiap kejadian melalui pandangan matahati.


Allah berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 24 dan 25.



Maksudnya : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.


Agak teruja juga mendengar penjelasan daripada Ustaz Sabri berdasarkan ayat ini. Allah menjadikan pokok sebagai perbandingan kepada manusia. Sehebat mana sekali pun pokok yang dilihat, ia tidak mampu berdiri dengan megah seandainya akar di dalam tanah tidak mencengkam dengan kuat. Pasti ia bersifat rapuh dan lambat-laun akan tumbang ekoran kelemahannya. Namun begitu, akar yang kuat dan sihat mampu menghasilkan sifat lahiriah yang kuat dan mantap malah mampu memberi manfaat kepada orang sekeliling. Umpamanya menjadi tempat teduhan bahkan memberikan buah yang baik kepada orang ramai.


Subhanallah, berguru dengan alam sememangnya amat mendalam ertinya bagi yang buka mata dan aktif minda.






Tuesday, September 6, 2011

Berakhirnya Ramadhan, kembali kepada fitrah


Alhamdulillah, Ramadhan 1432 yang berlalu banyak memberi pengalaman dan pelajaran. Tanggungjawab untuk memimpin solat terawih di Pengkalan Sentosa banyak memberikan erti dalam bermasyarakat. Memang sebelum ni telah menjadi kebiasaan menjadi imam. Cuma perbezaannya, taklifan yang dberikan selama sebulan non-stop mampu mengisi persediaan rohani dan jasmani.

Realitinya, di awal Ramadhan memang melimpah-limpah kehadiran jemaah. Di pertengahannya pula makin berkurang. Di akhirnya, adalah bertambah sedikit. Begitulah ujian untuk melakukan ibadah yang sedikit untuk tempoh berterusan. Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu bertahan sehingga ke akhir Ramadhan. Mudah-mudahan bekalan taqwa yang dikurniakan Allah di dalam diri hambanya boleh memberikan momentum kepada diri dan orang sekitarnya.

Sebaik-baik ibadah ialah yang berterusan dan sedikit. Kata-kata ini adalah bukti bahawa Allah memandang amalan yang sedikit yang dilakukan secara istiqamah. Dalam erti kata lain, amalan yang sedikit dan dilaksanakan dengan berkualiti. Bukannya amalan yang banyak yang tidak memberi apa-apa kesan kepada roh dan jasad kita.

Semoga syawal yang menjelang mampu memberi impak kepada setiap insan untuk kembali kepada fitrah. Sebab itulah dinamakan Aidil fitri, hari di mana manusia kembali kepada fitrah asal kejadian yang bersih dari segala dosa dan maksiat.

Sunday, January 30, 2011

Perjalanan bermula


Tanggal 24 haribulan 2011, dengan rasminya aku telah mengikuti kursus perguruan di IPG Kampus Ipoh. Dengan itu, aku juga telah memasuki dunia pendidikan. Seramai 153 orang yang telah mengikuti program KPLI ini. Di sini, aku mengenali ramai rakan-rakan baru dan juga rakan-rakan lama aku sewaktu di sekolah dan di universiti dahulu. Pelatih daripada Perak adalah antara pelatih yang teramai sekali. Manakala, dari negeri-negeri lain tidaklah terlalu ramai sangat bilangannya.

Banyak perkara yang boleh dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain. kabanyakan mereka berasal dari pelbagai latarbelakang dan mempunyai pengalaman yang luas dari pelbagai bidang. Bermaksud, ada yang bekerja di bidang lain sebelum menceburkan diri dalam bidang pendidikan. Benarlah apa yang dikatakan orang, kita mampu hidup melebihi 1000 tahun sekiranya kita meneladani dan mempelajari pengalaman hidup orang lain.

Sepanjang minggu pengurusan dijalankan, aku telah dilantik menjadi penghulu pada minggu itu. Pengalaman yang aku miliki selama ini, aku gunakan sebaik yang mungkin. Terima kasih kepada rakan-rakan kerana memberi kepercayaan kepada aku. Tak lupa juga kepada Letchmi, penghuluwati yang sentiasa bertanya tentang perjalanan program.

Bagi mengekalkan hubungan di antara pelatih yang lain, aku dan rakan-rakan yang lain telah melancarkan laman facebook untuk batch kami ambilan januari 2011. setakat ini masih lagi menantikan kedatangan rakan-rakan yang lain.