Tuesday, June 15, 2010

Titipan hariku


Sebenarnya dah tahu…


Ada dua perkara yang menjadi perkara biasa di kalangan umat sekarang. Perkara ini berlaku ketika saya bersama teman pulang dari pejabat dan menuju salah sebuah pasaraya yang besar di sekitar Lembah Klang.


Perkara pertama yang berlaku ketika kami sedang sibuk bermain boling, saya terpandang akan seorang gadis di sebelah saya yang berhenti bermain secara tiba-tiba. Lalu pandangan saya terarah kepada lanenya. Bola boling yang dibaling tersebut terhenti di dalam longkang dan langsung tidak bergerak maju ke hadapan, juga mustahil untuk berpatah balik.


Setelah diamati, rupa-rupanya bola bolingnya tersangkut di dalam longkang lane tersebut. Tiba-tiba, seorang gadis yang juga seorang pekerja di situ menuju ke arah longkang tersebut untuk mengambil semula bola tersebut. Lagaknya seperti model iklan bola boling hinggakan menjadi tarikan kepada orang ramai. Manakan tidak, pakaian gadis yang dalam lingkungan awal 20-an itu begitu ketat dan sendat yang mampu menzahirkan susuk tubuhnya...


Saya menulis perkara ni bukan nak mengatakan aku pertama kali melihat perkara ini. Cuma, mahu berkongsi perkara ini sudah menjadi perkara kebiasaan. Bukan saya nak kata mereka tak tahu, cuma hati mereka belum ada rasa mahu. Bukan mereka tak tahu bahaya di pandang dengan keghairahan, cuma mungkin ingin menarik dan menunjuk kepada lelaki juling akhlaknya. Inilah realiti mentaliti masyarakat yang terlalu ingin menjadi barat lebih dari orang barat sendiri.


Selesai bermain kami mencari surau di sekitar pasaraya tersebut. Oleh kerana ini adalah kali pertama kami sampai di situ, kami perlu khidmat bantuan orang lain. Lalu saya ajukan persoalan kepada seorang promoter lelaki. Pada mulanya saya bertanyakan sudah berapa lama promosikan produk-produk ini, dia berkata adalah dalam seminggu. Seterusnya saya bertanyakan soalan yang sebenarnya,”Bang, di mana surau ye” . Kemudian pemuda tersebut berpaling sambil tersenyum. Di dalam hati saya mulalah berfikir, nasib baiklah dia tahu. Kemudian selepas dia senyum dia pun menjawab ”maaflah bang saya tak biasa sangat dengan tempat ni”. Aduh, macam ni pun boleh ada ke...saya tersenyum sendirian. Namun hakikatnya mungkin ramai lagi yang mempunyai jawapan sedemikian. Ialah, bila dilihat keadaan sekeliling, masih ramai lagi golongan melayu muslim yang berkeliaran ghairah dengan aktiviti masing-masing. Seperti saya katakan sebelum ini, bukannya saya tak pernah nampak keadaan sebegini, tetapi inilah perkara kebiasaan yang berlaku kepada umat kita.



Apabila maksiat menjadi perkara kebiasaan dalam kehidupan. Maka nantikanlah janji Allah ke atas mereka yang mendustakan ayat-ayatNya. Cukup beruntung bagi orang-orang yang mengingati Allah dan amatlah rugi bagi sesiapa yang meninggalkan laranganNya. Kalaulah solat dianggap enteng bagi segelintir orang, pasti haluan hidupnya makin jauh dari Allah.


Sebenarnya, solat itulah satu-satunya jalan yang mampu menghindarkan diri dari gejala kemaksiatan. Tetapi, bila masih ada yang tega dengan kejahilan, tidak mahu belajar solat, tidak membaiki solat, dan yang paling teruk ialah orang yang tahu dia jahil, tetapi redha dengan kejahilan yang dia ada. Ingatlah, sesungguhnya mereka akan membawa dosa kejahilan itu sampailah ke mati. Nauzubillah...

No comments:

Post a Comment