Saturday, December 31, 2011

Buka Mata Aktif Minda


Azuhan, Asyraf, Fikri dan Hadi

Ketika menghadiri Program Remaja Cemerlang anjuran Perbadanan Putrajaya di Morib, Selangor sebagai fasilitator jemputan. Mungkin ini adalah program yang agak berlainan dari yang pernah saya hadiri sebelum ini, berikutan hanya memberi fokus kepada program sendiri sahaja. Perbezaan yang diambil mampu menjadi penambahbaikan di dalam mengadaptasi kemahiran komunikasi yang lebih berkesan.


Kerap-kali orang menilai keupayaan berdasarkan faktor materi yang bersifat zahiriah. Di samping memberi keutamaan kepada pembangunan fizikal diri, keseimbangan kepada pembangunan rohani juga amat ditekankan. Ia adalah usaha mewujudkan insan yang bukan hanya melihat berdasarkan pandangan mata mereka sahaja. Tetapi juga, menaakul setiap kejadian melalui pandangan matahati.


Allah berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 24 dan 25.



Maksudnya : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.


Agak teruja juga mendengar penjelasan daripada Ustaz Sabri berdasarkan ayat ini. Allah menjadikan pokok sebagai perbandingan kepada manusia. Sehebat mana sekali pun pokok yang dilihat, ia tidak mampu berdiri dengan megah seandainya akar di dalam tanah tidak mencengkam dengan kuat. Pasti ia bersifat rapuh dan lambat-laun akan tumbang ekoran kelemahannya. Namun begitu, akar yang kuat dan sihat mampu menghasilkan sifat lahiriah yang kuat dan mantap malah mampu memberi manfaat kepada orang sekeliling. Umpamanya menjadi tempat teduhan bahkan memberikan buah yang baik kepada orang ramai.


Subhanallah, berguru dengan alam sememangnya amat mendalam ertinya bagi yang buka mata dan aktif minda.






Tuesday, September 6, 2011

Berakhirnya Ramadhan, kembali kepada fitrah


Alhamdulillah, Ramadhan 1432 yang berlalu banyak memberi pengalaman dan pelajaran. Tanggungjawab untuk memimpin solat terawih di Pengkalan Sentosa banyak memberikan erti dalam bermasyarakat. Memang sebelum ni telah menjadi kebiasaan menjadi imam. Cuma perbezaannya, taklifan yang dberikan selama sebulan non-stop mampu mengisi persediaan rohani dan jasmani.

Realitinya, di awal Ramadhan memang melimpah-limpah kehadiran jemaah. Di pertengahannya pula makin berkurang. Di akhirnya, adalah bertambah sedikit. Begitulah ujian untuk melakukan ibadah yang sedikit untuk tempoh berterusan. Maka beruntunglah bagi sesiapa yang mampu bertahan sehingga ke akhir Ramadhan. Mudah-mudahan bekalan taqwa yang dikurniakan Allah di dalam diri hambanya boleh memberikan momentum kepada diri dan orang sekitarnya.

Sebaik-baik ibadah ialah yang berterusan dan sedikit. Kata-kata ini adalah bukti bahawa Allah memandang amalan yang sedikit yang dilakukan secara istiqamah. Dalam erti kata lain, amalan yang sedikit dan dilaksanakan dengan berkualiti. Bukannya amalan yang banyak yang tidak memberi apa-apa kesan kepada roh dan jasad kita.

Semoga syawal yang menjelang mampu memberi impak kepada setiap insan untuk kembali kepada fitrah. Sebab itulah dinamakan Aidil fitri, hari di mana manusia kembali kepada fitrah asal kejadian yang bersih dari segala dosa dan maksiat.

Sunday, January 30, 2011

Perjalanan bermula


Tanggal 24 haribulan 2011, dengan rasminya aku telah mengikuti kursus perguruan di IPG Kampus Ipoh. Dengan itu, aku juga telah memasuki dunia pendidikan. Seramai 153 orang yang telah mengikuti program KPLI ini. Di sini, aku mengenali ramai rakan-rakan baru dan juga rakan-rakan lama aku sewaktu di sekolah dan di universiti dahulu. Pelatih daripada Perak adalah antara pelatih yang teramai sekali. Manakala, dari negeri-negeri lain tidaklah terlalu ramai sangat bilangannya.

Banyak perkara yang boleh dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain. kabanyakan mereka berasal dari pelbagai latarbelakang dan mempunyai pengalaman yang luas dari pelbagai bidang. Bermaksud, ada yang bekerja di bidang lain sebelum menceburkan diri dalam bidang pendidikan. Benarlah apa yang dikatakan orang, kita mampu hidup melebihi 1000 tahun sekiranya kita meneladani dan mempelajari pengalaman hidup orang lain.

Sepanjang minggu pengurusan dijalankan, aku telah dilantik menjadi penghulu pada minggu itu. Pengalaman yang aku miliki selama ini, aku gunakan sebaik yang mungkin. Terima kasih kepada rakan-rakan kerana memberi kepercayaan kepada aku. Tak lupa juga kepada Letchmi, penghuluwati yang sentiasa bertanya tentang perjalanan program.

Bagi mengekalkan hubungan di antara pelatih yang lain, aku dan rakan-rakan yang lain telah melancarkan laman facebook untuk batch kami ambilan januari 2011. setakat ini masih lagi menantikan kedatangan rakan-rakan yang lain.

Monday, November 29, 2010

Bingkisan SK Lambor Kanan 2010 part 1


Perjalanan di SK Lambor Kanan 2010.

Banyak mahu dikongsikan daripada kisah-kisah aku ketika berada di sekolah ni. Lagipun sudah lama blog ni tak terusik. Jadi banyaklah cerita yang bertimpa-timpa.. tapi apa pun, ini adalah pengalaman menjadi guru yang sarat dengan tanggungjawab untuk anak bangsa..

Disini adalah cacatan aku yang sempat dirakamkan sepanjang berada di sekolah.


Di atas tu masa lawatan ke Taman Burung di Penang dengan team-team pendidikan khas. Memang menarik pun tempatnya. Macam2 jenis burung ada. pendek kata boleh terlopong la tengok binatang-binatang ni..




Burung tu memang jinak..sama warna ngan orang tu..tu yang jadi rapat..


Di Penang kami pergi pagi dan balik dalam jam 12 malam..memang penat la..Kemudian 2 hari lepas tu saya pergi ke KL untuk lawatan sekolah. tempat yang kami pergi di Petrosains dan Aquaria...kedua-dua tempat ni terletak berdekatan dengan menara Petronas.





Wednesday, August 18, 2010

Hadirmu di nanti, Pergimu diratapi...Ya Ramadhan...




Ramadhan menjelma semula, kali ini aku akan menyambut Ramadhan di kampung halaman ku sendiri. Setelah hampir 12 tahun aku tidak menyambut Ramadhan di kampung melainkan pulang cuti hujung minggu sahaja. Alhamdulillah, mungkin ini adalah hikmah yang Allah telah berikan dengan mendapat pekerjaan di kampung sendiri.

Ramadhan kali ini, seperti biasa.. di awal Ramadhan pasti berpusu-pusu manusia menuju ke surau untuk menunaikan solat terawih. Moga-moga ia akan terus kekal ke hingga ke akhir Ramadhan.

Ironinya, di hujung Ramadhan nanti begitu banyak shopping complex membuat jualan murah, sedangkan di hujung Ramadhan itulah Allah telah membuat promosi pahala berlipat ganda dengan memberi bonus malam al-qadr. Subhanallah, tetapi hanyalah orang yang benar-benar mencari dan mengabdikan malamnya dengan Allah taala akan memperoleh malam tersebut.

Menjadi imam terawih di kampung adalah satu pengalaman yang baru bagi saya. Teringat juga waktu dahulu, tiap-tiap kali terawih pasti saya akan lakukan sebanyak 8 rakaat dan kemudian menghilangkan diri. =)... memandang ada sedikit pengalaman sewaktu bekerja di syarikat motivasi, saya menawarkan diri untuk memberikan tazkirah di kampung. Syukur sangat-sangat kerana mendapat persetujuan dan juga sambutan yang menggalakkam dari penduduk kampung. Di samping mereka melakukan ibadah, mudah-mudahan mereka mendapat manfaat ilmu dari pengisian yang diberi.

Apabila ibadah yang dilakukan berasaskan kesedaran yang ikhlas kepada Allah. Insyaallah, akan dimakbulkan setiap doa yang dipohon kepadaNya. Yelah, kadang-kadang kita tidak menduga nikmat sihat, masa, tenaga yang Allah berikan kepada kita. Mungkin juga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita di atas dunia. Allah yang menentukan segalanya. Rebutlah peluang yang masih ada, agar apabila kita dijemput oleh Allah biarlah dalam keadaan yang bersih dari segala dosa dan noda..

Aku cuba berlari, tapi kaki tersadung...Kem Rimba Tamu



Ketika berada di kem Rimba Tamu aku mampu berhadapan dengan masalah peribadiku dengan baik daripada sebelumnya. Alhamdulillah, masih Allah memberikan kekuatan untuk aku bertahan walaupun sudah hampir 7 bulan tidak berhubung secara langsung dengan seseorang cukup aku kenal.
Benar, Rimba tamu telah menggamit memori lama bersama dengan seseorang insan yang pernah aku berikan harapan. Aku sentiasa harapkan yang terbaik daripada Allah, kerana Dia lebih mengetahui setiap sesuatu. Kita memikirkan sesuatu perkara itu mungkin terbaik pada kita, namun tidak bagi Allah ; dan mungkin yang kita fikirkan tidak baik itu, adalah baik bagi Allah.
Namun begitu, tumpuan aku lebih tertumpu kepada program Kem Ibadah bersama-sama dengan adik-adik SMK Sri Gombak. Seramai 120 orang pelajar yang terlibat di dalam program ini. Saya sentiasa mendoakan adik-adik yang bersama-sama di dalam program ini di rahmati Allah di atas usaha mereka.
Moga-moga mereka menjadi insan yang berguna dan mampu membentuk diri menjadi insan yang cemerlang.

Monday, August 16, 2010

Agenda Yahudi...perosak akidah dan iman

Buku yang bertajuk “Menyangkal Kiamat 2012” yang ditulis oleh Mohd Nizam Abdul Razak adalah buku yang ditulis untuk memperbaiki akidah umat Islam gara-gara tayangan 2012 yang ditayangkan pertengahan tahun lepas. Isu ini mungkin agak lama bagi sesetengah orang, namun apa yang ingin saya tegaskan daripada pemerhatian saya melalui buku ini, ia adalah salah satu agenda yang berbahaya yang dibawa oleh Yahudi dan Nasrani kerana ia melibatkan pegangan akidah bagi umat Islam.

Saya berkesempatan menonton filem ini di panggung pada tahun lepas, beberapa orang dari penonton Muslim yang menonton begitu terhibur dan mengatakan cerita ini menarik kerana ada bantuan grafik dan juga ia berjaya mewujudkan perasaan gementar sepanjang tontonan, seolah-olah gambaran kiamat yang dibuat itu adalah perkara yang benar-benar berlaku.
Cuba kita bayangkan, andainya kita sendiri yang pergi ke panggung wayang dan menonton sendiri tayangan tersebut. Apakah yang akan kita jangkakan apabila keluar dari panggung tersebut. Adakah kita akan mengatakan, “Wau!menarik” atau “Dahsyatnya gambaran kiamat tu”, atau “puas hati aku beli tiket ni”. Nah! Kita mampu meneka bukan, apa yang bakal keluar dari mulut kita sendiri. Kerana itulah, pengamatan yang tajam akan membuatkan kita mampu berfikir dengan lebih baik. Allah berfirman


Sudah jelas lagi bersuluh bahawa pengamatan yang tajam dan penelitian yang baik mampu menyingkap seribu rahsia yang tersembunyi di sebalik sesuatu perkara. Apa yang menyebabkan saya berminat untuk menulis perkara ini, ialah kerana kerisauan yang semakin meruncing di kalangan umat-umat muda sekarang yang banyak memikirkan soal kehidupan dan keseronokan semata-mata, dan di samping itu, ingin mengingatkan diri sendiri juga agar tidak mudah menyimpang dari tuntutan agama.yang lurus.
Seperti yang di ketahui umum, mempercayai kepada hari kiamat adalah perkara wajib yang di ketahui kerana ianya terkandung di dalam rukun Islam. Sekiranya kita menolak akan berlakunya hari kiamat, maka terbatallah keislaman dan keimanan kita kepada Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi, gambaran kiamat itu adalah suatu perkara yang tidak mampu digambarkan kedahsyatannya. Dahsyatnya kejadian tersebut hinggakan ibu yang sedang mengandung sanggup menggugurkan kandungannya semata-mata untuk menyelamatkan diri. Di saat itu, setiap manusia akan memikirkan keselamatan diri sendiri dan akan melupakan orang-orang yang ada di sekelilingnya. Apa yang difirmankan oleh di dalam al-qur’an merupakan janji yang benar-benar akan berlaku.


Tetapi, agenda yang cuba dibawa oleh barat ialah mereka telah menentukan bahawa kiamat itu telah ditetapkan tarikhnya. Bukankah perbuatan ini dinamakan sebagai satu tilikan, yang pasti menyimpang dari Islam. Andai ada yang mempercayai dan meragui apa yang Allah tetapkan, sudah pasti boleh menjejaskan akidah mereka. Nauzibillah.


Seterusnya, fenomena melawan kuasa tuhan dengan mendatangkan jalan penyelesaian melalui teknologi yang canggih. Di mana dengan teknologi yang canggih mampu untuk menyelamatkan diri dari fitnah yang maha dahsyat ini. Mungkin dari perspektif yang lain mereka mahu mendoktrinkan pemikiran manusia bahawa hanya barat sahaja yang mampu menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku. Mungkin ramai yang menidakkan perkara ini, namun begitu, pasti ada sekelumit berpegangan sedemikian rupa. Saya ingin membawa para pembaca semua mula memikirkan, sekiranya perkara sedemikian mula diimani oleh anak-anak muda sekarang. Adakah mereka mampu mendepani gejala ini. Saya tetap berpegang bahawa kemenangan dan pegangan yang benar adalah dengan meletakkan akidah yang kuat terhadap Allah s.w.t.
Semoga dengan perkongsian ini, mampu menanam semula semangat cinta pada agama yang semakin pudar. Di Ramadhan kita doakan agar Islam akan terus berkembang dan mekar di dalam hati setiap insan.