Monday, January 9, 2012

Botol Ajaib


Sepanjang kehidupan manusia, kita akan berdepan dengan dua bentuk persekolahan iaitu sekolah yang kita hadiri dari waktu 7.00 pagi hinggalah 2.00 petang. Manakala yang keduanya pula ialah, sekolah yang bermula dari awal pagi sehinggalah kita tidur di lewat malam.

Sekolah yang pertama tadi ialah sekolah yang bersifat formal, di mana adanya meja, kerusi, pen dan buku sebagai alat bantu pembelajaran. Guru sebagai penyampai ilmu dan kita sebagai pelajar yang menerima ilmu.

Seterusnya sekolah yang kedua lebih bersifat kepada pengalaman dan pengamatan kita seharian, hanya yang berfikir dan membuka minda mampu menyingkap hikmah yang dialami.

Hakikatnya, ramai yang kurang menyedari sekolah yang kedua ini. Setiap apa yang dilihat, hanyalah sekadar pandangan kosong dan kritikan dangkal yang mengecewakan.

Mari kita pelajari sesuatu daripada makhluk yang bernama air botol mineral =)…sememangnya ia adalah botol yang biasa dan tiada keajaibannya.


Satu hari anda pergi ke kedai untuk membeli sebotol air mineral. Sebagai pengguna yang bijak anda akan memastikan 3 perkara berikut sebelum membelinya iaitu; belum luput tarikh, penutup botol belum terbuka dan air tidak berkurangan. Bermaksud,anda akan membeli sebotol air mineral kerana meyakini dengan pemerhatian yang dibuat.

Cuba anda bayangkan anda berada di dalam situasi yang anda amat haus dan ingin membeli air botol mineral yang banyak. Kebetulan di kedai itu hanya tinggal dua botol sahaja. Salah satu dari dua botol itu telah kemik sedikit di bawahnya. Anda lihat botol yang kemik tersebut masih belum luput tarikhnya, penutup botol masih lagi belum terbuka dan airnya juga tidak berkurang. Berdasarkan pemerhatian yang logik, anda sememangnya yakin air botol itu masih lagi elok.

Tetapi anda tetap tidak memilih botol yang kemik itu kerana kecacatan yang terpampang jelas pada penglihatan anda. Lalu, tanpa ragu-ragu lagi, anda terus mengambil botol yang sempurna itu dan meninggalkan botol yang kemik itu lantaran tidak sempurna fizikalnya, walaupun pada hakikatnya anda amat dahaga pada waktu itu.

Persoalannya, mengapa tidak mengambil kedua-duanya. Bukankah ciri-ciri keselamatan yang ada pada botol itu sememangnya masih lengkap.

Sedar atau tidak, secara tidak langsung ia mempamerkan sifat dan sikap sebenar kita yang membenci dan tidak menyukai perkara yang tidak cantik. Apatah lagi,perkara yang tidak sempurna pada pandangan kita.

Sifat manusia yang hanya cenderung perkara sempurna dan akan membenci perkara yang tidak sempurna. Inilah persekolahan yang kedua yang ingin saya kongsikan. Sesuatu yang diperoleh dari pengalaman. Malah mungkin lebih mendalam lagi penaakulan yang boleh dilakukan.

Air yang sememangnya penting buat kita, ibarat insan yang kita sentiasa perlukan. Sepanjang kehidupan kita, berapa ramai orang yang pernah kita kemikkan atau rosakkan hatinya. Kita menolak setiap apa yang diberikan kerana menganggap mereka tidak cukup sempurna untuk diri kita. Bukankah wajar air botol itu mampu memberi gambaran tentang erti sebuah kehidupan. Sesungguhnya tenanglah bagi orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dalam setiap apa yang mereka lalui. Inilah petanda yang Allah berikan buat mereka yang buka mata dan aktif minda.

No comments:

Post a Comment